Isnin, 3 Oktober 2011

Percubaan Pertama

Perjalanan Aku menemani kawan rapatku untuk ke Kajang semata-mata untuk membeli sebungkus susu berjenama Dutch lady berperisa madu. Didalam perjalanan yang mengambil masa hampir lima belas minit, aku terpandang seorang mak cik yang mempunyai wajah mirip arwah nenek aku. Melihat akan wajahnya yang tenang itu membuatkan aku menyingkap kembali kenangan aku ketika bersama arwah nenek suatu masa dahulu.

Nenek merupakan seorang yang sangat penyayang dan aku merupakan satu-satunya cucu yang hampir dengannya. Oleh sebab itu, semua kasih sayang dicurahkan hanya kepada aku. Apabila dikenangkan kembali, betapa bertuahnya aku kerana beroleh kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada nenek dan juga kedua-dua orang tuaku.

Seawal usia aku sepuluh tahun, aku mula minat untuk belajar memasak tetapi aku ditegah oleh mama aku. Katanya masih terlalu awal untuk aku belajar memasak. Oleh disebabkan minat yang mendalam dan keinginan yang membuak-buak didalam hati, aku mula mencari akal supaya aku dapat memenuhi kehendak dihati ini. Rumah nenek adalah tempat yang paling sesuai untuk aku memulakannya. Nenek tinggal bersendirian dirumah kecil yang didirikan oleh ayah dan menjadi rutin harian aku untuk menghantar makanan yang dimasak oleh mama ke rumah nenek. Diusia emasnya itu,dia tidak lagi mampun untuk melakukan kerja yang berat.

Peluang yang terbuka didepan mata tidak aku sia-siakan begitu sahaja. Aku mula menyatakan hasrat dihati aku kepada nenek dan meminta dia berjanji untuk merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan mama aku. Masakan pertama aku adalah sup ayam. Aku hanya belajar memasak sup tersebut melalui bungkusan rempah ratus yang dicatatkan cara-cara untuk memasak sup tersebut. Perasaan berdebar-debar didalam hati seolah-olah jantung aku ingin gugur dari kedudukannya namun senyuman yang terukir diwajah tua nenek aku membuatkan hati ini merasa sungguh nyaman dan menghilangkan segala resah didadaku ini. Buat pertama kalinya aku memasak dan masakan aku dirasa oleh nenek kesayangan aku,namun kini,nenek tiada lagi disisi aku. Dia telah meninggalkan aku untuk berada didunia yang kekal lapan tahun dahulu tetapi kenangan itu masih lagi segar didalam ingatan dan sanubari hatiku ini.

Buat nenek,terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk membahagiakan hari-hari tua mu sebelum dirimu menutup mata.



Tiada ulasan: