Rabu, 26 Oktober 2011

.:: Makanan dan Jerawat ^_^


Kecantikan sangat sinonim dengan wanita. Wanita yang mempunyai penampilan yang menarik akan membuatkan orang disekeliling mereka berasa senang dengan kehadiran mereka. Apakah yang paling dititikberatkan oleh seorang wanita? Jawapannya semestilah kecantikan kulit wajah dan tubuh badan. Memiliki kulit yang cantik, putih dan gebu amat menjadi idaman semua wanita namun tahukah anda bahawa kulit yang sihat dan bersih lebih perlu diutamakan? Kulit yang bersih akan mencegah kehadiran jerawat pada kulit wajah anda.

Terdapat beberapa mitos tentang jerawat yang berhubung kait dengan pemakanan seharian anda. Mitos pertama yang beranggapan bahawa jerawat disebabkan oleh mengambil manisan seperti coklat atau gula-gula dalam pemakan seharian anda. Mitos ini hanyalah palsu semata-mata kerana ahli sains berkata bahawa coklat atau gula-gula tiada kene mengena dengan jerawat pada muka anda.

Mitos kedua adalah disebabkan pengambilan makanan berminyak. Benar atau palsu mitos tersebut? Semestinya palsu kerana makanan berminyak seperti pizza,makanan segera,kentang goreng atau kacang yang sering dianggap sebagai punca utama penyebab jerawat tidak akan menyebabkan pertumbuhan jerawat atau menjadikannya lebih teruk.

Seterusnya mitos yang ketiga. Ramai wanita mengambil pil-pil untuk kulit dengan harapan dapat membantu kulit menjadi lebih sihat. Benarkah pengambilan pil-pil tersebut akan membantu kulit menjadi lebih sihat? Kesemuanya hanyalah harapan palsu. Tiada penyelidikan saintifik yang membuktikan bahawa pil atau vitamin unutk kulit boleh secara ajaibnya memberi anda kulit yang sihat ataupun mengubati masalah kulit anda. Bagaimana cara untuk mendapatkan kulit yang sihat? Anda hanya perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang pada masa yang tetap untuk mendapatkan semua nutrien yang diperlukan oleh badan anda.

Ramai yang berpendapat bahawa dengan meletakkan makanan seperti timun, putih telur atau aloe vera pada wajah akan membolehkan mereka mendapat kulit yang sihat. Tanggapan seperti itu salah kerana nutrien-nutrien makanan tidak berfungsi dengan mudah pada badan atau kulit anda. Cara yang paling baik dan sihat disamping berfaedah adalah dengan memakan makanan tersebut.

Kesimpulannya, amalkanlah gaya pemakanan yang sihat untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bebas daripada pertumbuhan jerawat.




**********************************






Selasa, 25 Oktober 2011

.:: Nano-Nanoku ^_^

Longlai kakinya melangkah. Orang yang lalu lalang tidak lagi Dia pedulikan. Dia merasakan dirinya kosong tanpa isi. Kenapa seakan-akan Dia tidak lagi bersemangat untuk meneruskan perjalanan hidup? Kemanakah perginya diri Dia yang dulu? Aku sangkakan Dia seorang yang tabah dalam menempuh semua cabaran dan dugaan hidup. Tetapi mengapa sekarang Dia seolah-olah hilang semua ketabahan dan kekuatan itu.

Kemana perginya rakan yang  disanjunginya?  Yang memahami dan menerima Dia seadanya Dia? Kemana perginya insan itu?  Tiada disaat Dia memerlukan mereka untuk bertanya. Dia dibiarkan terkontang-kanting, terumbang-ambing menempuh jalan Dia sendiri. "Biarkanlah dia!" hanya itu yang terungkap.

Hujan yang turun mencurah ke bumi seakan-akan mengerti akan perasaan yang sedang Dia alami. Menangisnya langit bumi itu sama seperti air mata Dia yang gugur bersama-sama dengannya. Disaat itu,datang seorang insan merangkul tubuh Dia yang kerdil itu. Didalam hujan insan itu setia menemani Dia dan disaat itu jugalah Dia sedar, siapakah yang bernama teman sejati.

Semua itu membuatkan Dia sedar,orang yang Dia abaikan selama ini lebih menyayangi dirinya berbanding orang yang Dia sangka memahami dirinya. Dia telah tetap dengan pendiriannya. Biarlah orang ingin berkata tentang dirinya. Dia tahu kelemahan dirinya yang tidak sehebat orang lain untuk dijadikan tempat bergantung. Dia cuba untuk bangkit walaupun sukar baginya. Dia tahu dirinya dipandang rendah oleh orang lain tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia telah mencuba sehabis daya untuk menjadi yang terbaik namun, tidak semua hati manusia boleh dipuaskan sehinggakan Dia merasa dirinya berada di pelusuk bumi yang paling dalam.

Hilangnya kawan Dia bukan bererti Dia tidak dipedulikan tetapi Dia diberikan peluang dan kesempatan agar Dia benar-benar bersedia untuk meluahkan benak didada Dia kerana kawan Dia itu kenal benar akan sikap Dia yang agak berahsia.

Peristiwa itu benar-benar mengajarnya erti persahabatan yang sebenar. Seburuk-buruk Dia sebagai seorang manusia, temannya itu akan sentiasa berada disampingnya. Itulah sahabat sejati.

Buat sahabat sejati Dia, dirinya merasa sangat beruntung kerana memilikiMu sebagai sahabat. Engkaulah gula-gula "nano-nano" Ku!!!


Ahad, 9 Oktober 2011

Lolipop dalam hidupku

Apabila sahaja diriku ingin berbicara tentang persahabatan, hati aku akan mula terasa sebak,mungkin disebabkan tidak banyak lagi masa yang aku ada untuk diluangkan bersama rakan-rakan aku di UKM. Kami cuma ada satu semester lagi untuk dihabiskan. Walaubagaimanapun, kami sentiasa mencuba sebaik yang mungkin untuk menjadi sahabat yang sentiasa ada setiap saat sama ada saat susah dan juga saat senang. Terlalu banyak dugaan yang kami hadapi bersama-sama. Tidak cukup rasanya jika ingin dikongsikan saat-saat itu disini.

Pada aku,mereka adalah sahabat yang terbaik yang pernah aku miliki dalam hidup nie. Mereka aku ibaratkan seperti lolipop yang manis dan berwarna-warni. Mereka dianggap manis kerana setiap saat yang mereka hidangkan kepada aku lebih banyak manisnya berbanding pahit dan berwarna-warni kerana ragam mereka yang bermacam-macam. Setiap seorang daripada kami mempunyai ragam yang berbeza dan dengan ragam itulah yang membuatkan setiap daripada mereka unik pada pandangan mata aku.

Kegilaan kami membuatkan kami membentuk satu kumpulan iaitu "Geng Dodol". Kenapa kami memilih nama tersebut untuk kumpulan kami?. Hal ini disebabkan oleh 'kesengalan' atau kenakalan yang ada pada diri kami dan juga kerana kami tersangatlah suka menjamu selera. Tidak dapat dinafikan kesemua ahli kumpulan kami sangat suka makan. Kami bukanlah pelahap,cuma melalui makanan,hubungan kami menjadi semakin rapat. Apabila kami mempunyai waktu lapang,kami akan luangkan masa untuk berkumpul bersama. Beberapa hari yang lepas, kami telah membuat 'steamboat' dan kemeriahan itu dapat dirasakan hingga meninggalkan rasa yang mendalam dalam sanubari hati aku. Pelbagai aktiviti yang kami jalankan pada malam tersebut dan tidak ku sangka-sangka,mereka sangat berfikiran terbuka dan berperangai gila-gila.

Kesemua kenangan yang aku lalui di sini tidak mungkin dapat dijual beli dan tidak ternilai harganya. Aku hanya mampu mengucapkan terima kasih untuk setiap masa yang mereka luangkan bersama-sama aku dan seandainya dapat aku balas semua kebahagiaan itu,akan ku balas dengan seribu kebahagiaan untuk kalian semua kerana pada aku,persahabatan tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit.

~~~ Persahabatanku seindah Lolipop~~~





Isnin, 3 Oktober 2011

Percubaan Pertama

Perjalanan Aku menemani kawan rapatku untuk ke Kajang semata-mata untuk membeli sebungkus susu berjenama Dutch lady berperisa madu. Didalam perjalanan yang mengambil masa hampir lima belas minit, aku terpandang seorang mak cik yang mempunyai wajah mirip arwah nenek aku. Melihat akan wajahnya yang tenang itu membuatkan aku menyingkap kembali kenangan aku ketika bersama arwah nenek suatu masa dahulu.

Nenek merupakan seorang yang sangat penyayang dan aku merupakan satu-satunya cucu yang hampir dengannya. Oleh sebab itu, semua kasih sayang dicurahkan hanya kepada aku. Apabila dikenangkan kembali, betapa bertuahnya aku kerana beroleh kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada nenek dan juga kedua-dua orang tuaku.

Seawal usia aku sepuluh tahun, aku mula minat untuk belajar memasak tetapi aku ditegah oleh mama aku. Katanya masih terlalu awal untuk aku belajar memasak. Oleh disebabkan minat yang mendalam dan keinginan yang membuak-buak didalam hati, aku mula mencari akal supaya aku dapat memenuhi kehendak dihati ini. Rumah nenek adalah tempat yang paling sesuai untuk aku memulakannya. Nenek tinggal bersendirian dirumah kecil yang didirikan oleh ayah dan menjadi rutin harian aku untuk menghantar makanan yang dimasak oleh mama ke rumah nenek. Diusia emasnya itu,dia tidak lagi mampun untuk melakukan kerja yang berat.

Peluang yang terbuka didepan mata tidak aku sia-siakan begitu sahaja. Aku mula menyatakan hasrat dihati aku kepada nenek dan meminta dia berjanji untuk merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan mama aku. Masakan pertama aku adalah sup ayam. Aku hanya belajar memasak sup tersebut melalui bungkusan rempah ratus yang dicatatkan cara-cara untuk memasak sup tersebut. Perasaan berdebar-debar didalam hati seolah-olah jantung aku ingin gugur dari kedudukannya namun senyuman yang terukir diwajah tua nenek aku membuatkan hati ini merasa sungguh nyaman dan menghilangkan segala resah didadaku ini. Buat pertama kalinya aku memasak dan masakan aku dirasa oleh nenek kesayangan aku,namun kini,nenek tiada lagi disisi aku. Dia telah meninggalkan aku untuk berada didunia yang kekal lapan tahun dahulu tetapi kenangan itu masih lagi segar didalam ingatan dan sanubari hatiku ini.

Buat nenek,terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk membahagiakan hari-hari tua mu sebelum dirimu menutup mata.



Ahad, 2 Oktober 2011

Semanis Senyuman Sofeya

Seusai solat Subuh, Aku mengangkat kedua telapak tangan Aku memohon agar semua ahli keluarga Aku yang kini tiada lagi disamping Aku dan insan kesayangan Aku ditempatkan disisi ALLAH s.w.t. Dikeheningan subuh dihiasi titisan embun pagi ditingkap bilik Aku mengingatkan Aku pada adik angkatku, Sofeya. Sofeya merupakan seorang kanak-kanak yang periang dan penyayang, tinggal berhampiran dengan rumah Aku yang berdekatan dengan kawasan pantai.

Telah menjadi rutin harian Aku menemani Sofeya untuk bermain layang-layang di taman permainan berhampiran kawasan rumah kami. Sofeya sangat gemar bermain layang-layang. Aku merasa sangat bahagia tatkala melihat senyuman yang mencorak wajah si kecil itu. Wajahnya yang putih bersih, sentiasa dihiasi dengan senyuman yang mampu meruntun hati setiap mata yang memandang.

    "Kak Yaa, tengoklah layang-layang Feya terbang tinggi! Boleh tak Feya nak terbang tinggi-tinggi macam layang-layang tu?" ujar Sofeya yang membahasakan dirinya sebagai Feya sambil menarik tali layang-layang tersebut dan melompat-lompat kegirangan. Matanya yang sepet hampir tertutup setiap kali dia ketawa kegirangan.

   "Feya nak terbang tinggi-tinggi macam tu nak pergi mana sayang? Kesian Kak Yaa nanti tak ada lagi kawan nak temankan Kak Yaa jalan-jalan," balas Aku cuba untuk menyakat si kecil Sofeya.

   "Feya janji yang Feya tak akan tinggalkan Kak Yaa. Feya cuma ada atuk,nenek dan Kak Yaa. Mama dan Papa jarang-jarang balik jenguk Feya kat sini. Mereka tak sayangkan Feya lagi ke Kak Yaa?" soalan Feya membuatkan Aku terkesima sebentar. Otak Aku mula ligat mencari jawapan untuk menjawab soalan si kecil itu.

   "Ish, tak baik Feya cakap macam tu. Mama dengan Papa sayangkan Feya.Feyakan anak mereka. Barangkali mereka sibuk dengan kerja mereka kat bandar tu. Nanti mereka akan balik jenguk Feya kat sini.," ayat demi ayat Aku susun dengan berhati-hati agar tiada kata Aku yang mengguris jiwa kecil itu.

   "Tak apalah Kak Yaa. Lagipun Kak Yaa kan ada temankan Feya selalu. Kak Yaa,belanjalah Feya makan gula-gula kapas tu. Feya teringin nak makan gula-gula tu. Jom la Kak Yaa!" kata Feya sambil menarik-narik tangan Aku dan kemudiannya berlari menuju kearah seorang tua yang menjual gula-gula kapas. Tanpa berlengah lagi,Aku terus menurut saja permintaan adik angkat Aku itu. Biarlah hatinya gembira walaupun hanya dengan permberian sekecil itu kerana Aku tidak pasti jangka masa yang berbaki untuk Aku menemani Feya. Feya disahkan menghidap kanser darah pada lima bulan yang lalu. Sewaktu Aku dikhabarkan dengan berita itu,Aku terjelepuk diatas lantai.Aku tidak pernah menyangka seorang kanak-kanak yang riang seperti Feya menghidap sejenis penyakit yang akan meragut nyawanya. Hingga saat ini Aku masih lagi menafikan kenyataan bahawa Aku akan kehilangan Feya dari hidup Aku.

Keesokkannya,seperti kebiasaannya Aku akan ke taman permainan untuk menanti Feya datang tetapi setelah lama Aku menanti, kedatangan Feya tidak juga kunjung tiba. Aku bergegas ke rumah Feya. Atuk memberitahu Aku bahawa Feya demam dan langsung tidak dapat untuk bangkit dari perbaringannya. Sedih hati Aku melihat tubuh kecil itu terbaring lesu diatas katil kecilnya itu. Aku menangis teresak-esak melihatkan keadaan itu.Setelah itu,Aku mengatur langkah untuk pulang ke rumah dengan perasaan yang gundah gulana dan jiwa yang berkecamuk.

     "Kak Yaa! Cepatlah buka pintu ni. Feya datang ni kak," jerit Feya diluar rumah. Aku segera mengukir senyuman setelah mendengar suara manja adik Aku itu. Segera Aku bergegas membuka pintu. Tangan Aku ditarik dan Aku dibawa ke taman permainan,tempat kami menghabiskan masa bersama.

    "Akak,hari ni Feya nak makan gula-gula kapas lagi ya kak. Feya takut tak dapat makan lagi lepas ni," kata-kata Feya menyentap jantung Aku.

    "Apa yang Feya cakapkan ni dik? Feya boleh makan seberapa banyak yang Feya mahu. Kak Yaa akan belikan," aku terus berlari mencari pak cik tua yang sentiasa berniaga gula-gula kapas di taman permainan tersebut meninggalkan Feya yang sedang asyik bermain layang-layang.

Sekembalinya Aku ke arah Feya, kelibatnya menarik-narik layang-layang tidak lagi Aku lihat. Aku cuma melihat layang-layang yang terputus talinya terbang tanpa arah tuju. Aku melihat sekujur tubuh terbaring layu diatas tanah. Aku merasakan seolah-olah roh didalam badan Aku tercabut dari jasad apabila sekujur tubuh yang Aku lihat sebentar tadi adalah Feya. Dia tidak lagi berdaya,segera Aku panggilkan ambulans. Didalam ambulans tersebut,Aku menggenggam erat tangan Feya. Feya perlahan-lahan membuka matanya yang kuyu itu.

   "Akak, terima kasih sebab jadi akak Feya. Feya sayang sangat kat akak.Feya nak jadi adik akak sampai bila-bila ya kak," ujar Feya.Air mata Aku mula berguguran,mencurah-curah tanpa henti.

  "Akak, Feya mengantuk. Feya nak tidur dulu ya kak," lemah suaranya berkata-kata sambil bibirnya mengukirkan senyuman kepada Aku.

  "Feya,buka mata tu sayang.Jangan tidur sayang.Jangan tinggalkan akak.Feya...," tiada lagi kedengaran suara manja Feya membalas ungkapan Aku. Feya telah pergi mengadap penciptanya. Itulah senyuman terakhir dari Feya untuk Aku.

Kini, Aku masih lagi meluangkan masa Aku setiap petang untuk pergi ke taman permainan itu. Aku merasakan seolah-olah Feya masih lagi bersama Aku. Setiap kanak-kanak yang Aku jumpa akan Aku berikan gula-gula kapas kepada mereka kerana itu adalah kegemaran adik Aku, Arianna Sofeya.





~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Semanis dan Sepahit Coklat


Keindahan petang sangat nyaman untuk dinikmati begitu juga dengan keindahan sebuah persahabatan yang terjalin diatas dasar keikhlasan. Indahnya persahabatan itu jika disulami dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi berserta dengan curahan keikhlasan yang sesuci air di kali. Bolehkah persahabatan itu digambarkan sebagai coklat? Pahitnya sebuah persahabatan seperti pahitnya coklat jika persahabatan itu dikhianati.

Sudah menjadi lumrah sebagai seorang manusia akan sentiasa bergantung kepada insan lain untuk meneruskan hidup.Tidak akan seorang pun yang mampu untuk hidup sendirian tanpa teman di dalam dunia yang luas dan berliku-liku ibarat roda yang tidak pernah berhenti berputar namun sikap berjaga-jaga tetap perlu dalam memilih sahabat untuk dijadikan teman. 


        "Kakak,adik nak tanya sesuatu pada akak," ujar adik Aku.
        "Tanyalah wahai adikku,selagi mampu untuk akak memberikan jawapan akan akak berikan," jawab Aku tanpa berlengah lagi.
        "Akak ada kawan baik tak? ceritakanlah kepada adik," soalan itu membuatkan aku terkesima sebentar. Jantungku mula berdegup kencang sekencang taufan. Kenangan lama mula menjengah dikotak fikiran Aku.
  
Bermulanya kisah berkisarkan tentang kehidupan Aku bersama rakan baiknya.Aku mempunyai seorang sahabat yang sangat Aku sayangi namun sahabatnya itu berlainan agama dan fahaman tetapi semua itu tidak pernah menjadi penghalang bagi Aku untuk terus menyayangi sahabat itu. Perasaan sayang Aku pada sahabatnya itu tidak pernah pudar walau sedikit pun. Mereka diibaratkan sebagai isi dengan kuku,bagai aur dengan tebing yang sentiasa bersama-sama dalam waktu susah dan juga senang. Jauh didalam sudut hati kecil Aku ingin melihat satu hari nanti kawannya itu akan berada didalam landasan yang sama dan berjuang mempertahankan pegangan yang sama.

      "Teya,Mia ada sesuatu untuk Teya tapi Teya mesti pejamkan mata dulu tau!" kata-kata Mia memecah kesunyian pagi. Aku menurut sahaja permintaan sahabat baik Aku itu. Sekotak coklat diletakkan diatas tangan Aku sempena hari lahir Aku. Aku ketawa kegirangan dan memeluk erat sahabat baik Aku.

      "Terima kasih Mia,tak sangka Mia masih ingat hari kelahiran Teya," ujar ku kegirangan.
      "Selagi nyawa Mia masih dikandung badan,Mia tidak akan pernah lupa pada Teya," kata-kata Mia hampir membuatkan titisan air mata Aku gugur,namun Aku cuba sedaya upaya untuk menyeka air mata itu. Kata-kata itu tidak pernah hilang dari ingatan Aku. Walaupun kini Mia tidak lagi bersama Aku.

Pemergian Mia sangat memberi kesan pada hidup Aku. Ruang didalam hati Aku untuk Mia tidak akan pernah dapat diisi oleh sahabat lain kerana Mia adalah sahabat Aku didunia dan diakhirat. Masih lagi segar memori saat terakhir sebelum Mia menghembuskan nafas terakhirnya dalam pangkuan Teya.

     "Teya,sayang Mia tak?" soal Mia secara tiba-tiba.
     "Mestilah Teya sayangkan Mia.Walaupun kita baru dua tahun kawan,tapi Teya dah anggap Mia macam famili Teya tau," jawapan Aku mengukir sebuah senyuman dibibir mungil Mia.
     "Kalau boleh Mia nak kawan dengan Teya sampai bila-bila. Mia nak jadi kawan Teya didunia dan diakhirat.Teya doakanlah untuk Mia," kata-kata itu sangat meruntun hati aku.

Akhirnya doa Aku dijawab. Mia memeluk agama Islam dan selepas itu Mia pergi meninggalkan dunia yang sementara ini dan meninggalkan Aku untuk meneruskan hari-hari yang mendatang tanpa Mia disisi Aku lagi . Mia tidak pernah memberitahu Aku akan penyakit yang ditanggung olehnya sehinggalah pada saat dia menghembuskan nafasnya diatas pangku Aku.

Kotak coklat itu Aku genggam seeratnya. Manisnya persahabatan Aku bersama Mia diibaratkan manisnya coklat,walaupun cair setelah dimasukkan ke dalam mulut tetapi rasanya akan diingati sepanjang masa.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sabtu, 1 Oktober 2011

Kisah Si Gamat

Disaat badan mula terasa lesu dan tidak bermaya,mata ini ingin sekali di rapatkan namun tangan masih lagi menari-nari di atas papan kekunci dan idea didalam kepala masih lagi mencurah-curah seperti air sungai yang mengalir laju. Terimbau kenangan sewaktu menjalani aktiviti di Pulau Pangkor kerana waktu itu merupakan saat pertama kalinya aku melihat gamat yang masih lagi hidup.

           "Hani, banyaknya lintah kat dalam air nie! macam mana kita nak naikkan kayak ini?," soal aku kepada teman sebilik aku.

           "Ini gamat bukannya lintah," ujar hani. Aku mula tergelak sendiri dengan kebodohan diri sendiri. Kaki aku tidak lagi mampu untuk mengorak langkah mencari tebing berdekatan. Terlampau geli rasanya untuk menapakkan kaki didasar air itu dengan gamat yang banyak didalam air itu namun aku terpaksa menggagahkan dan memberanikan diri ini untuk berjalan.

Kami mula berbual panjang mengenai khasiat yang ada pada gamat tersebut. Ayah aku pernah bercerita tentang khasiat gamat kepada aku tetapi waktu itu aku masih lagi kecil dan tidak mengerti akan ungkapan ayah itu.Teman sebilik aku mengatakan bahawa gamat mempunyai khasiat yang sangat tinggi tetapi gamat tidak mengandungi kolestrol kerana ia mengandungi lebih daripada 50 jenis  nutriens seperti protein, lemak,gula, vitamin B1,B2, asid nikotinik, kalsium fosfat,zat besi dan terdapat pelbagai lagi nutriens yang dinyatakan oleh kawan aku.

Gamat sangat bagus untuk merencatkan proses penuaan dan membantu mengurangkan pembentukan kedutan pada kulit. Selain itu, gamat juga membantu mempercepatkan proses pemulihan luka dan meningkatkan sistem imunisasi. Bagi penghidap penyakit jantung,omega-3 yang terdapat didalam gamat membantu merendahkan kolestrol didalam darah, melindungi arteri dan mengurangkan risiko mendapatkan penyakit jantung.Kesihatan mental juga akan dapat dihindari dengan hanya mengambil gamat dalam menu pemakanan harian yang kebiasaan dihidangkan sebagai sup.